MAC 2022

Hubungan Dua Hala Malaysia, Indonesia Diperkukuh


KALIMANTAN TIMUR: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama-sama delegasi Malaysia mengadakan kunjungan hormat terhadap wakil (timbalan) Gubernor Kalimantan Timur (KALTIM), Hadi Mulyadi, di Samarinda, KALTIM pada Isnin.

Kunjungan tersebut bertujuan mempererat hubungan dua hala antara Sabah dan Sarawak, khususnya dan Malaysia dan Indonesia amnya.

Delegasi tersebut diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr. Johnity @ Maximus Ongkili, dan turut disertai Timbalan Ketua Menteri III / Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, Utusan Khas BIMP-EAGA, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan pegawai daripada beberapa kementerian.

Delegasi Malaysia turut menghadiri taklimat peluang pelaburan di Kaltim oleh Dinas Penanaman Modal dan Pelayanan Terpadu Satu Pintu (DPMPTSP), KALTIM untuk Kawasan Industri Kariangau – Buluminung di Kawasan Teluk Balikpapan, Kawasan Industri Jasa dan Perdagangan di Kota Samarinda dan kawasan strategik di sempadan.

Taklimat lebih sejam itu turut menyaksikan sesi dialog yang antara lainnya membincangkan peluang yang ada di antara kedua-dua negara dan juga dari pembinaan ibu kota baharu Indonesia di Nusantara.

Lawatan kerja tujuh hari tersebut turut menyaksikan pertemuan dengan beberapa dewan perniagaan dari wilayah di Kalimantan dan lawatan ke tapak pembinaan ibu kota Nusantara.

Sumber dari : Jiwa Bakti